Panduan Memilih Jodoh


Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.
Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun.
Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama.
Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.
Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.
Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.
Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.
Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.
Antara yang menarik tulisan berikut:
Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteksTEPAT dan JELAS.
Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Cinta aku pada si dia


Cinta itu buatkan
Cinta utamaku lemah
Cinta aku pada si dia
Buatkan cinta aku pada Tuhan
Allah Yang Maha Esa..
Buatkan cintaku pada Rasulullah
Kekasih Yang Maha Kuasa
Buatkan cintaku pada agama
Islam yang gah agung
Buatkan cinta aku pada iman
Nur yang sentiasa terang
Seakan-akan goyah
Umpama meniti jambatan rapuh
Yang kalau-kalau ditiup angin kencang
Rebah sujud sia-sia ke bumi
Cinta aku pada si dia
Mencalar kotor pada pahalaku
Bertambah erat pula
Pegangan si dosa-dosa
Cintaku pada si dia
Buatkan jiwaku resah
Bernanah dengan maksiat
Zina mata, zina hati
Buat aku terus-terusan gelisah
Melihat pasangan lain
Melayari bahtera durjana
Yang kononnya indah
Walhal aku tahu
Halal haramnya...
Meskipun aku tahu
Baik buruknya...
Sungguhpun aku tahu
Azab dan siksanya...
Bukankah cintaku aku pada si dia
Harus bawaku dekat
Ke kota pujaanku...syurga
Bukankah cinta aku pada si dia
Harus jauhkan aku sejauh-jauhnya
Dari neraka yang pedih azabnya
Jadi...
Mana mungkin cinta ini
Cinta aku pada si dia
Adalah cinta bisikan Allah
Mana mugkin cinta ini
Cinta aku pada si dia
Adalah cinta yang bisa buatkan aku
Bahagia dunia akhiratnya
Mana mungkin cinta ini
Cinta aku pada si dia
Adalah suci, tulus dan perawan
Aku muhasabah nilai cinta ini
Sebak dada, kusut jiwa
Menitis air mata seorang hamba derhaka
Mengenangkan betapa murahnya nilai cinta ini
Hinanya cinta ini disisi tuhan
Cinta yang aku dambakan
Cinta aku pada si dia
Tiada apa-apa erti buat tuhan
Hanya lumpur noda mengundang murka...
Rupa-rupanya
Cinta aku pada si dia
Tidak layak menggapai rahmat
Tidak layak menjemput berkat
Dan tidak akan pernah mengundang keredhaan
Maafkan aku Ya Allah
Maafkan aku untuk ada rasa
Cinta aku pada si dia
Yang tidak ada nilai di mata mu Tuhan
Ya Allah
Jodohku ditanganmu
Kalau benar
Cinta aku pada si dia
Hanya menambah timbunan dosa
Aku mohon ampun Ya Allah
Doaku...
Harapanku...
Pintaku dengan harap...
Harap dengan sangat...
Penuh rendah diri sebagai hambamu
Kurniakan aku masjid yang sempurna
Dengan jodoh yang baik-baik
Penuhi pertemuan dan perpisahannya
Dengan iman, nur dan rahmatmu...
Biar jodohku itu...
Buatkan aku dekat padamu Ya Allah
Biar jodohku itu...
Buatkan syurga nanti jadi naungan untukku
Biar jodohku itu...
Buatkan aku lebih mencintaimu
Lebih dari segalanya Ya Tuhan...
Ya Allah... Amin...

JANGAN BERHENTI BERKENALAN : Buat renungan suami isteri

JANGAN BERHENTI BERKENALAN : Buat renungan suami isteri

“Abang rasa dah makin kuranglah dengan kari..” luah suami sebaik selesai makan tengahari. Saya berpaling mendengar kata-katanya. Entah mengapa, tiada angin, ribut jauh sekali, tiba-tiba sahaja suami berbicara tentang makanan. Saya pula yang tertanya-tanya kehairanan.

“Karipap pun sama…”suami menambah bicara tanpa sempat saya menjawab sepatah dua.

“Alamak, susahlah As.” Saya membalas spontan. Buat-buat cemas sambil menggaru kepala yang tidak beralas.
Anak mata saya tepat memandang ke wajah suami. Cuba menelek-nelek keseriusan di sebalik patah katanya. Mana tahu, luahannya itu sekadar gurauan semata.

Namun, sebaik pandang bertemu pandang, dari sinar mata suami, saya seakan mengerti. Dia tidak berjenaka dengan kata-katanya tadi.

‘Patutlah abang kurang berselera,’saya berbisik. Tidak terucap, sekadar terdengar di dalam diri sendiri sahaja. Terbayang kembali suapan suami yang tidak selaju biasa sewaktu menjamah nasi berlaukkan kari ayam tengahari ini.

PERCERAIANBuat kesekian kalinya, usai membaca satu berita dari laman Berita Harian Online bertarikh 6 Oktober 2010 semalam, saya melepaskan satu keluhan yang cukup berat dan dalam. Membaca tajuk berita sahaja sudah cukup meresahkan jiwa. Masakan tidak, kandungan yang dipapar menggambarkan betapa gawat dan runcingnya institusi perkahwinan di kalangan masyarakat Islam dewasa kini.

Walaupun latar tempat dan negara di mana kes perceraian tersebut dilaporkan, bukan berlaku di Malaysia, namun, oleh kerana ia juga merupakan salah sebuah negara umat Islam, saya tetap merasa bimbang dan tidak senang. Berita tersebut melaporkan :






“Kadar perceraian tinggi di Kuwait dilaporkan berterusan
selepas pihak berkuasa mendakwa 3,153 kes perceraian dicatatkan sepanjang enam
bulan pertama tahun ini.


Jumlah keseluruhan perceraian dicatatkan 5,965
kes, tahun lalu. Sementara itu, bilangan perkahwinan pula menurun selepas pihak
berkuasa mencatatkan 6,914 perkahwinan pada enam bulan pertama tahun ini
berbanding 14,155 pada 2009.


Bilangan perkahwinan dan kes perceraian menjadikan
kadar perceraian 42 peratus, antara yang tertinggi di dunia. ”



Keadaan ini mengingatkan saya kepada emel-emel yang menceritakan masalah rumahtangga yang sedang dialami oleh kebanyakan pasangan suami isteri di Malaysia hari ini. Rata-rata emel yang saya terima datangnya dari kaum hawa. Ada yang mengadu suami bertemu cinta yang baru, tidak kurang juga yang merintih bila suami yang disayangi, tiba-tiba beralih kasih.

Demikian juga paparan di dada-dada akhbar yang mengenengahkan berita/kes perceraian terutama di kalangan artis, selebriti dan golongan kenamaan. Hampir saban hari.

Sungguhpun mereka menyatakan, mahligai rumahtangga yang mereka dirikan bermula dengan rasa cinta dan suka, bahkan banyak juga pasangan yang mengakui amat menyintai pasangan masing-masing malahan sebahagiannya sudah memasuki gerbang seabad hidup bersama sebagai suami isteri, tetapi rumahtangga yang dibina atas dasar cinta ini tetap roboh bila berlaku sedikit sahaja perubahan seiring usia dan peredaran masa.

Mengapa?

SALING MENGENALI
Saya yakin, mana-mana pasangan yang telah menempuh alam perkahwinan beberapa tahun lamanya pasti mengakui dengan penuh sedar bahawa cinta bukanlah segalanya di dalam rumahtangga.

Sungguhpun kalimah cinta sebelum pernikahan banyak menjadi penyebab bertautnya jiwa uda dan dara untuk melayari bahtera rumahtangga melalui pernikahan, namun ia tidak akan dapat bertahan lama andai tiada usaha dilakukan bagi memastikan bunga-bunga cinta yang telah bersemi di awal perkahwinan itu terus berkembang indah, hidup subur dan mewangi sentiasa.

Tempoh hidup bersama memungkinkan suami dan isteri untuk masing-masing lebih mengenali. Sejak awal usia perkahwinan, dari sehari ke sehari semakin banyak maklumat tentang pasangan yang dapat diketahui; kelebihan dan kekurangannya, sifat dan tingkahlaku, juga perubahan watak dan reaksi pasangan terhadap sesuatu situasi yang berlaku.

Semua itu merupakan satu proses di dalam rumahtangga. Andai sebelum berkahwin, peratusannya mungkin hanya sekitar 30%, namun sebaik melangkah ke alam rumahtangga, peratusan itu pasti meningkat dari semasa ke semasa.
Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Justeru itu, ramai pasangan suami atau isteri hari ini yang mendakwa sudah cukup masak dengan sikap dan perangai pasangan masing-masing.
“Luar dalam, semua dah tahu.” Demikian ungkapan yang selalu diwarwarkan.



PERUBAHANSikap ‘beranggapan’, mengagak atau menyangka bahawa suami atau isteri sudah mengenali pasangan masing-masing di depan mata adalah umpama racun yang boleh menghakis sedikit demi sedikit keharmonian dan keutuhan rumahtangga.

Hal ini kerana setelah proses mengenali mulai sampai ke tahap kemuncak, kesilapan mula terjadi. sesudah masing-masing mulai merasakan mereka telah saling mengenali, telah mencerna erti faham memahami di antara suami dan isteri, mereka bagaikan berhenti dari terus mengenali.

Sedangkan, di fasa pertengahan perkahwinan, ia merupakan satu tahap yang memerlukan suami dan isteri untuk lebih aktif dan pro-aktif mengenali dan memahami pasangan. Ini kerana ujian kehidupan dengan tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan semakin besar dan mencabar. Dan inilah salah satu punca yang mencetus perbalahan suami isteri setelah sekian lama melayari bahtera bahagia.

Sewajarnya, setiap pasangan perlu memahami dan menyedari bahawa pada awal perkahwinan, perasaan cinta dan rindu yang menguasai ketika itu hanyalah bersifat ‘kosmetik’ dan sementara sahaja, kerana ia belum diuji dan teruji. Rasa cinta pada fasa pertama itu hanya menggebu dengan diwarnai oleh sikap 'ingin dimiliki dan memiliki' terhadap pasangan masing-masing semata.

Manakala cinta yang menjalar secara perlahan-lahan seiring proses mengenali pasangan di sepanjang pelayaran bahtera perkahwinan, sangat berpotensi untuk lebih kekal dan kian mengental andai ditanggapi secara bijaksana, lantaran ia tumbuh dari ujian dan cabaran yang berencam bentuknya. Dari perasaan benci dan kasih yang bersilihganti, tawa dan tangis yang menambah makna yang akhirnya bersebati menjadi kasih sayang, menyemai kemesraan, rasa percaya sehingga menatijahkan hubungan yang bahagia, saling mengasihi dan menghargai.

MANUSIA BERUBAHHakikatnya, sangat sukar menemui seseorang yang dapat kekal dengan 'diri' yang sama selama hayatnya. Pertambahan usia, pengalaman hidup, perubahan persekitaran dan pertemuan dengan individu lain baik yang menjadi teman, rakan sekerja, jiran tetangga dan lain-lain mampu mengubah seseorang kepada ‘individu’ yang baru iaitu dengan merujuk kepada cara berfikir, keperibadian, kehidupan sosial bahkan sehingga gaya penampilan, cara bercakap dan seremeh panggilan nama juga turut mengalami perubahan.

Keadaan inilah yang memerlukan suami atau isteri untuk sentiasa ‘up-to-date’ terhadap pasangannya. Jika lalai, leka dan memandang sebelah mata sahaja, maka sudah pasti sebarang perubahan yang berlaku akan menular menjadi satu masalah yang menggugat keharmonian rumahtangga, lebih-lebih lagi jika perubahan itu ketara menjurus ke arah negatif dan tidak selari dengan tuntutan ILAHI.

Oleh itu, sebelum meletakkan 'orang ketiga' sebagai punca perbalahan, sudah takdir dan tiada jodoh menjadi alasan, lakukan muhasabah diri terlebih dahulu. Andai diimbal balik sebab dan punca sebenar masalah yang berlaku kemungkinan ia bermula dari kelekaan untuk mengenali dan memahami pasangan.

Insafilah selalu, bahawa setiap manusia sememangnya diciptakan berbeza (termasuk suami isteri) dengan manfaat dan ruang untuk bertaaruf ( saling mengenal ) di antara mereka. Firman ALLAH SWT :



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى
وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ
اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ٌ
Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (TA’ARUF). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” ( Surah Al-Hujurat ayat 13 )

Seiring berlalunya waktu, kehidupan di dalam perkahwinan akan beransur menjadi suatu rutin yang biasa, dengan suami atau isteri merasa bahawa seharusnya pasangannya sudah tahu apa yang diinginkan oleh diri masing-masing.

Pada saya, tanggapan ini kurang tepat. Seharusnya, suami dan isteri tetap perlu terus mengenali khususnya melalui komunikasi yang lancar dan saling terbuka. Sentiasa berkongsi cerita, serta menyatakan keinginan tanpa perlu berahsia, seterusnya berusaha untuk saling mengoptimumkan kelebihan masing-masing demi kerukunan perhubungan di samping tidak lupa memuhasabah kekurangan yang ada dan bersedia menerima kesilapan sendiri tanpa memanjangkan perdebatan atau merasa sakit hati.

JANGAN BERHENTI BERKENALAN“Hmm, nampaknya kena cari resepi baru ni. Alamak…alamak..” gurau saya masih bernada cemas. Sengaja. Perkataan ‘alamak’ itu saya sebut kuat-kuat. Biar jelas menerobos ke corong telinga.

Selepas 11 tahun berumahtangga dan mengetahui menu kegemaran suami ialah kari, kali ini, saya akur sendiri. Di dalam hati, saya mulai berkira-kira untuk meninjau-ninjau resepi terkini dari laman-laman resepi yang sering menjadi rujukan saya memasak terutama ketika ketandusan idea.

Sayang dan menghargai suami, seleranya perlu dijaga. Itu pegangan saya.

“Tapi abang masih minat dengan soto. Daging masak hitam pun sama,” jelas suami tanpa dipinta. Seakan memahami gelodak rasa yang bermain di jiwa saya.

Saya melirik ke arah suami. Melihat senyumannya yang melebar tatkala menatap wajah saya yang agak berkerut, cepat-cepat saya mengalihkan pandangan ke kaca TV. Namun di dalam hati, saya tersenyum lega.

Alhamdulillah…

Terima kasih abang kerana membantu diri ini untuk terus mengenalimu…

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH. 




 

Cinta Tidak Perlu Diungkap


Fana, itulah perkataan yang tepat apabila berbicara soal cinta.
Cinta itu segalanya indah, tapi ramai jua merasai pahitnya cinta.
Selepas saya menulis beberapa artikel yang menyentuh serba sedikit tentang isu evergreeniaitu CINTA, membuatkan diri ditempatkan oleh pembaca menjadi salah seorang dari rujukan

Sedangkan nikah pun belum, ayat power dan sakti untuk mencairkan wanita belum lagi digunakan.
Dan sekarang satu demi satu ada yang meminta pandangan.
Saya serba sedikit cuba untuk menjadi pendengar yang setia, bukan untuk memberikan satu jawapan yang tepat dan jitu.
Kerana cinta itu masalah dan bicara jiwa.
Jiwa pula berbeza-beza tempatnya disetiap manusia.
Mana mungkin saya memberikan jawapan melainkan banyak berkongsi cerita bagaimana untuk menguruskan cinta.
Memberikan alat kepada mereka untuk mencari jawapan.
Hadir dalam riang. Hadir dalam duka. Hadir dalam keliru. Hadir dalam blurr.
Itulah warna warni pembaca yang tampil untuk berkongsi cerita dengan saya. Sudah semestinya setiap yang hadir, saya raikan dengan hati yang berbunga-bunga.
Cinta diungkap, hati gelisah.
"Amad, anda percaya tentang mimpi tak?" tanya seorang teman maya.
"Mimpi? Nak kata tak percaya, tidak juga. Nak kata percaya, silaplah. Tapi banyaknya tak percayalah. Kenapa tiba-tiba buka bab mimpi ni?" saya menjawab dan pada masa sama cuba memberi ruang keselesaan kepada beliau untuk berkongsi rasa.
"Macam ini, saya semenjak dua tiga hari ini, asyik bermimpi tentang seorang lelaki ni saja. Saya tak nak, tapi sering termimpi," dia bercerita.
Lelaki mimpi lelaki? Haru! Kawan maya saya ini adalah seorang wanita.
Jadi pantas saja yang masuk dalam mimpinya lelaki.
"Special sangatkah lelaki tu sampai angau begitu sekali?" saya bertanya lagi. Cuba mengumpulkan sebanyak mungkin informasi daripada history taking yang dijalankan.
"Macam ini sebenarnya. Saya ini ada suka seorang lelaki ini. Tapi tahu sahajalah, saya perempuan, bila suka, hanya mampu buat hanya diam saja. Pendam rasa sorang-sorang. Itu oklagi.
Tetapi satu hari, sebelum lelaki itu mahu ke luar negara belajar untuk beberapa tahun, dia datang jumpa dengan saya..." beliau bercerita.
Orang menaruh hati memendam rasa, datang pula sang jejaka pujaan. Mengantuk disorongkan bantai beb. Indah!
"Apa yang dia cakapkan?" tanya saya lagi. Cuba mengumpul simptom.
"Dia cakap dia sukakan saya. Dia janji selepas habis belajar nanti, dia akan datang cari saya kembali, Insyallah. Dan itulah masalahnya. Selepas itu hati saya tak tenang, asyik teringatkan dia. Sedangkan dia di luar negara, tanpa beri keputusan yang pasti," beliau menyambung.
Penantian satu penyeksaan.
Keluar daripada kes sebentar, ini terutama untuk muslimat.
Jika orang hadir, bertanya soal hati, cubalah menyatakan keputusan itu secepat mungkin dengan berfikir.
Jika YA, katakan dengan cepat.
Jika TIDAK, katakan dengan cepat. Anda mungkin tidak perasaan dan tidak mengerti, ada lelaki yang tidak keruan hidup tanpa keputusan yang tepat dan cepat.
Jangan seksa mereka dengan penantian yang lama.
"Apa pandangan dan nasihat Amad pada saya? Saya tahu itu silap, tapi macam mana nak baiki dan ubah?"sedih bunyinya.
"Pertama, saya nak sekeh kepala mamat yang cakap sayang tu," saya menjawap.
"Hah, suka hati nak sekeh kepala orang," cepat beliau memberi respon.
"Ops, maaf terlupa pula kepala orang saya nak sekeh itu adalah 'cik abang'," saya bergurau.
"Sebenarnya, orang yang membuat kesilapan paling besar adalah lelaki itu. Anda, rasa suka, rasa minat kepada seseorang, itu wajar saja. Tetapi tindakan lelaki itu adalah amat tidak wajar," saya bagi pandangan.
"Salah lelaki tu? Kenapa? saya tidak faham," dia menyoal balas.
"Silap paling besar lelaki itu adalah dia mengucapkan rasa sayang dia itu pada anda!"
Perasaan wanita, lelaki harus hormati.
Adakah salah meluahkan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?
Adakah salah menyimpan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?
Jangan sekali-kali kita menjadi robot cinta. Persoalan dan bicara soal hati dan perasaan diukur dengan digital.
Wanita sebenarnya kompleks hatinya, dan akan mudah dipengaruhi oleh perasaan.
Bagi mereka yang tidak menaruh harapan kepada seorang lelaki itu, apabila diuji dengan persoalan berkaitan hati, sudah tidak nyenyak tidur, makan tidak kenyang, mandi tidak basah. Inikan pula yang sudah menaruh harapan.
Mengantuk disorongkan bantal.
Tetapi bantal itu bukan bantal biasa, ia bantal fatamorgana.
Empuk bicaranya, hakikatnya sensara. Empuknya bisa mengusik hati si gadis, sengsaranya adalah penantian tidak pasti.
Anda! Jika minat dan menaruh harapan kepada si gadis, dan merasakan jalan pernikahan itu masih jauh dipandangan mata, jangan sekali-kali gatal meringankan mulut untuk meluahkan perasaan sayang itu.
Anda mahu pergi jauh, pergilah.
Jangan mengusik perasaan si gadis dengan luahan itu. Elok-elok si gadis dapat mengawal diri dengan sangkaan hanya bertepuk sebelah tangan, datang kita untuk bertepuk sama tetapi dalam nada yang tempang.
Kita sebagai lelaki mungkin tidak mengapa, masih mampu mengawal diri. Tetapi mereka?  Sedangkan hakikat sebenar jiwa lelaki dan wanita itu berbeza.
Anda mahu pergi dalam masa yang lama, pergilah.
Pulang, jika masih ada sisa sayang dan harapan itu, pergilah mencari kembali si gadis.
Dan jika si gadis pada saat itu sudah diijabkabulkan dengan jejaka lain, apa susah, cari saja yang lain!
Reda dengan ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu lebih utama kerana menghadirkan kegelisahan hati pada si gadis itu dosa.
Jadi, bila perlu beritahu yang kita berkenan pada dia?
Apabila sudah berkenan, hadirnya rasa suka dan merasakan jalan untuk ke gerbang pernikahan itu semakin jelas.
Pada saat itu, silakanlah mengungkap rasa kasih dan sayang itu kepada ibu bapa si gadis.
Bertemulah dengan kedua orang tua si gadis. Mintalah izin dengan ibu bapa si gadis.
Cepat-cepatkanlah kepada shake hand dan lafazkan "Aku Terima Nikahnya".
Lawan jangan layan jangan.
"Dah tu, sekarang dia pun terlepas cakap. Saya pulak dah lama terseksa dengan perasaan ini. Macam mana nak buang ni?" tanya beliau.
Buang jangan, manage perlu. Bagaimana? Cara menguruskan angau yang tidak berpijak ini adalah dengan melupakannya.

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!
Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.
Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.
Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat "memberi".

Tidak lupa juga ingin saya berpesan untuk sekian kalinya, masalah sayang, masalah cinta, masalah rindu adalah masalah jiwa. Kembalikan masalah jiwa ini kepada pemilik segala jiwa. Allah SWT.
Jangan lepas daripada bermunajat kepada-Nya memohon kekuatan. Jika tidak dijawab dalam satu hari, biarlah terus berusaha hatta 100 tahun sekalipun. Doa tetap doa, kerana kita hamba.
Cinta itu harus fikir, fikir itu harus mengunakan akal, akal mampu sihat dengan hanya disirami iman.

Apa Tujuan Berumahtangga?


"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.
Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.
Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku.
Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"
Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.
Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat?
Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara?
Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.
Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.
Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.
Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.
Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?
Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.
Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.
Benar sekali, pilihlah yang beragama.
"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...