Cinta itu Buta


Cinta itu buta?
Cinta itu sesuatu yang suci. Datangnya Islam demi memelihara kesuciannya...
Cinta itu ibarat pelangi,
Yang memberi warna kepada kehidupan ini.
Cinta itu ibarat pelangi,
Menenangkan mata, pendamai jiwa.
Cinta itu ibarat pelangi,
Siapa melihat pasti terinspirasi.
Ya,
Cinta itu ibarat pelangi,
Hanyasanya cinta itu, cinta yang hakiki.

Mohd Syafiq, atau mudah dikenal dengan panggilan glamornya "Fiq" merenung lama kepada Firdaus.
Mohammad Firdaus, yang lebih mesra dipanggil "Daus" sudah kelihatan amat berbeza berbanding dirinya yang dia kenali dahulu. Semenjak dua menjak ini, Firdaus sering mengasingkan diri, sudah kurang berborak dan bergurau dengannya. Dia hanya selalu berinteraksi dengan alatan-alatan elektroniknya, yakni telefon bimbit dan juga komputer riba.
Firdaus dilihatnya seperti sudah berada dalam dunianya yang sendiri.
Selaku sahabat yang cukup rapat kepadanya, Syafiq amat risau melihat keadaan Firdaus. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berbincang dengan sahabatnya yang satu itu. Hanya selama ini, dia masih tidak menemukan masa dan peluang yang benar-benar tepat dan sesuai. Dia tidak mahu tergesa-gesa. Kini, masa dan peluang itu seakan tiba. Suatu petang yang agak tenang dan bebas dari kesibukan bekerja. Rakan-rakannya yang lain juga tidak datang bertandang di biliknya.
Syafiq pun bergerak memulakan bicara,
"Daus, aku tengok engkau sekarang dah lain la." Kata-kata Syafiq memecah kesunyian suasana.
Firdaus memalingkan wajahnya ke belakang melihat sahabatnya Syafiq. Riak mukanya memancarkan kehairanan, seperti tidak memahami apa yang dimaksudkan Syafiq.
"Hah. Aku dah lain? Mana ada Fiq... Aku sama je la. Engkau je silap perasan kot. Kalau aku dah semakin handsome mungkin la." Daus membalas kata-kata Syafiq dengan nada gurau.
"Ish engkau ni. Aku serius la. Aku tengok kau mandi dah tak basah, makan dah tak kenyang, tidur dah tak lena. Kau ada apa-apa masalah ke Daus?"
Terkoyak senyuman Firdaus. Dia mengeleng-gelengkan kepalanya. Syafiq, dalam nada dan riak muka yang serius, sempat lagi membuat lawak. Memang perwatakannya seperti itu. Selamba.
"Ceh, kau ni. Kata serius. Hmm..." Firdaus memikirkan kembali masalah yang diketengahkan sahabatnya itu. Jauh di sudut hatinya, dia terpaksa mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. Kini, kehidupan dia terasa lain. Ada beza.
"Mungkin betul jugak kata kau itu. Hmm.. Walaupun aku mandi masih lagi basah, tapi aku memang rasa lain la. Hati aku rasa tak tenang, jiwa sentiasa resah, otakku asyik memikirkan si dia je. Haihh." Firdaus menghela nafas.
"Aku rasa Fiq, aku dah terkena penangan cinta la."
Firdaus meleraikan apa yang terbuku dalam dadanya. Satu-satunya sahabat yang paling dia percayai adalah Syafiq. Maka dia kurang segan untuk menceritakan masalah peribadinya kepada sahabatnya itu.
"Yang kau maksudkan, Azlina?" Syafiq mahukan kepastian, sambil dia mengambil tempat duduk di sebelah Firdaus.
Firdaus mengangguk perlahan. Syafiq dapat mengagak. Dia sering melihat sahabat karibnya itu berdiskusi dengan Azlina dalam kumpulan diskusi subjek 'Professional Communication Skill', ataupun lebih dikenali sebagai "PCS". Salahnya bukan pada perbincangan itu. Tetapi Firdaus kelihatan amat mesra dengan Azlina, sehinggakan, senda gurau dan perkara-perkara yang mereka sembang sering meleret-leret kepada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan perbincangan. Hatta berkenaan kehidupan peribadi sekalipun.
Bagi orang biasa, perkara ini bukanlah sesuatu yang dipandang pelik. Namun tidak bagi Firdaus. Syafiq yang sudah berkawan dengannya selama 7 tahun, sejak tingkatan 1, amat mengenali sahabat karibnya. Firdaus ini sikapnya pemalu. Dan dia juga punyai kefahaman akan adab-adab pergaulan yang dibenarkan Islam.
"Ish, bahaya tu Daus!" Bicara Syafiq, sedikit meninggikan suara.
"Aku takut kau dah terkena zina hati je. Asyik fikirkan dia je, macam mana pula study kau. Bagaimana tanggungjawab kau sebagai muslim. Jangan-jangan kau tak boleh fokus nanti. Lagipun, kau nampak mesra sangat dengan dia tu. Kau kena jaga-jaga Daus! Batas-batas pergaulan kena pelihara juga. Selama aku kenal kau, kau ni agak pemalu orangnya." Dengan spontan kata-kata itu tersembur dari mulut Syafiq. Terselit juga nasihat pada bait-bait yang diucapkan tulus dari hatinya. Ia atas dasar kasihnya akan sahabat paling rapat dengannya, Firdaus. Dia tidak mahu sahabat karibnya itu tertipu dengan fatamorgana dunia yang sering tampak indah pada pandangan mata.
"Aku rasa betul la apa orang kata..." Kata-kata Firdaus terhenti. Seakan tidak memberi respon kepada kata-kata Syafiq tadi.
"Orang kata apa? Orang kata apa?" Syafiq yang kehairanan, mengulangi pertanyaan dua kali, menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap kata-kata Firdaus.
"Aku rasa.... cinta itu buta la Fiq."
*****
Petang itu, Mohammad Firdaus kelihatan agak teruja. Perkenalannya dengan gadis 'ICT' bernama Nur Azlina dalam tempoh masa yang singkat sudah cukup membuahkan perubahan yang drastik pada dirinya. Nur Azlina, seorang wanita yang menurutnya berparas indah dan juga bertudung labuh, telah menepati kriteria-kriteria wanita idamannya. Dia merasa amat bertuah dapat mendekati wanita itu. Namun adakah caranya betul?
Firdaus tidak pasti. Tetapi dia merasakan dia sudah tidak mampu untuk menolak arus cinta ini, yang dirasakannya terlalu deras, lalu membiarkan dirinya hanyut di dalamnya. Dia yang dahulunya cukup terkenal dengan sifat warak, malah turut digelar 'lelaki pemalu' oleh sebahagian rakan-rakan wanita satu batchnya, kini seakan-akan sudah lupa dengan apa yang menjadi pegangan dirinya selama ini.
Ungkapan 'setiap manusia pasti akan berubah', mampukah dijadikan alasan?
"Assalamu'alaikum." Sapa Firdaus dengan nada dan wajah yang ceria.
"Wa'alaikumsalam." Azlina tersenyum membalas salam. Manis.
Pertemuan mereka berdua-duaan ini merupakan buat pertama kalinya, yang mereka adakan di sebuah restoran, berdekatan dengan IPT mereka. Mereka yang pada mulanya segan silu dengan bebola-bebola mata yang memerhati dari sekeliling mereka, lama-kelamaan sudah menjadi lali dengan suasana itu. Mereka merasakan mereka sudah berada dalam dunia mereka sendiri. Mereka hanyut!
Firdaus yang pada mulanya duduk bertentangan dengan Azlina menukar tempat duduknya, mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Azlina, kerana merasakan kedudukan mereka kurang rapat. Kini, kedudukan mereka amat rapat.
Lama-kelamaan, tangan Firdaus mula diangkat, lalu...
Syafiq menggeleng-geleng mendengar apa yang diceritakan sahabatnya, Firdaus.
Dia seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Benarkah rakannya yang sudah dia kenal lama itu sudah berubah sehingga begitu sekali, hanya kerana seorang wanita? Ataukah ini hanya satu mimpi?
Namun, pengakuan itu tulus dari sahabatnya itu sendiri. Ini bukan mimpi. Ini realiti. Dia tidak dapat tidak, mempercayainya. Syafiq jadi teringat akan satu pesan Nabi Muhammad s.a.w., bahawa wanita itu merupakan fitnah terbesar buat lelaki muslim akhir zaman. Kini, dia sendiri terpaksa berdepan dengannya. Fitnah tersebut telah tertimpa ke atas sahabat karibnya sendiri. Maka sekarang, apakah tindakan yang harus dia lakukan? Otaknya berfikir ligat.
Firdaus pula yang amat mempercayai Syafiq, sanggup meluahkan segala yang berlaku pada dua hari lepas. Walaupun pada mulanya dia segan, namun, sebersit rasa tidak senang di dalam hatinya akan tindakannya dahulu menyebabkan dia terus menceritakannya. Semuanya didedahkan secara terperinci, tiada apa lagi yang terselindung.
"Betul apa kau kata itu Daus..." Syafiq cuba menyusun kata.
"Cinta itu buta dan dapat membutakan. Namun..." Firdaus merenung tepat muka Syafiq.
"Ianya tidak bagi orang-orang yang beriman. Cinta mereka tidak buta. Cinta mereka tidak membutakan. Mereka punya iman. Maka, iman di dada merekalah yang akan mengawal setiap tingkah laku mereka, mengatur gerak geri mereka. Penglihatan nurani mereka jelas."
"Walaupun dalam bercinta?" Firdaus memotong.
"Ya, walaupun dalam bercinta." Syafiq membalas dengan nada sedikit tegas.
"Daus, cinta itu boleh menjadi buta......" Firdaus mengangkat wajahnya, berminat.
"Apabila cinta itu berlandaskan nafsu semata." Syafiq menyambung kata-katanya. Nada suaranya diturunkan kembali. Lembut.
Firdaus merasa terpukul. Tutur kata Syafiq membuatkan suara-suara iman di hatinya kembali kedengaran. Kembali hidup. Imannya menjerit-jerit keseksaan. Akan tetapi, gelojak nafsunya pantas menepis-nepis suara-suara keimanannya itu tadi.
" Tapi.." Firdaus cuba bersuara mempertahankan dirinya. Namun belum sempat dia meneruskan bicara, Syafiq telah memotongnya terlebih dahulu.
"Daus, sudahkah kau lupa akan firmanNya?" Syafiq berkata sedikit meninggikan suaranya. Kata-katanya ditutur satu persatu, cuba menghalusinya, kerana dia tidak mahu Firdaus merasa tersinggung. Jauh skali niatnya untuk memperkecil-kecilkan sahabatnya itu.
Wajah Firdaus tidak menunjukkan apa-apa riak. Matanya kosong.
Kemudian, Syafiq membacakan maksud satu ayat Al-Qur'an yang masih segar tersemat dalam ingatannya. Surah Al-Jasiyah ayat ke-23,
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah membiarkannya sesat? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"
Firdaus tertunduk di lantai. Tersentak dengan ayat Al-Qur'an yang baru didengarinya tadi. Peringatan dari ayatNya memberi tamparan hebat buat dirinya yang sudah mulai leka.
Tanpa dia sedari, air matanya mula mengalir, membasahi pipi. Semakin lama, semakin deras.
Dia kembali sedar. Selama ini, dia telah melebihkan cinta dan nafsunya berbanding Allah. Walaupun dia dan Azlina tidak pernah sesekali pun mengisytiharkan bahawa mereka sedang ber'couple', namun, perbuatan-perbuatan mereka tempoh hari jelas-jelas membuktikannya. Memang ia tidak dapat dinafikan lagi. Allah bukan mendapat tempat yang pertama di hatinya. Dia mula merasakan kesal atas dosa-dosa yang telah dia lakukan.
"Daus..." Syafiq datang mendekati Firdaus. Dia memegang erat tubuh rakannya itu. Dia turut merasa kepedihan yang dialami sahabatnya itu. Tanpa disedari, butiran-butiran air turut berguguran di atas pipinya. Sungguh, orang-orang beriman itu seperti satu tubuh, yang mana jika satu organ sakit, anggota-anggota lain turut merasainya.
"Cinta yang suci itu adalah... apabila kita cinta seseorang itu, dan kita mahu bersama-sama dengannya menembus ke syurga. Sama-sama dalam keredhaanNya." Syafiq masih berusaha memberi kefahaman dan kekuatan kepada sahabatnya itu.
Dalam hati, Firdaus mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. Ya, jika benar cintanya tulus, sudah pasti dia tidak akan sanggup membiarkannya kekasih yang dia cinta itu tercampak ke dalam api neraka. Bahagia di dunia, namun di akhirat terseksa selama-selamanya. Adakah itu yang dia mahukan? Sudah tentu tidak. Dan pasti, cintanya itu bukan cinta yang tulus.
"Makanya Daus, sudah tentu, apabila kita benar-benar cinta akan seseorang itu, kita tidak mahu si dia melakukan perkara-perkara yang Dia larang, tidak mahu si dia mengerjakan perbuatan-perbuatan yang Dia murka."
"Apatah lagi kalau kitalah sendiri yang menjadi penyebab kepada dosa-dosa yang dia lakukan itu. Kan?" Syafiq cuba mengambil kepastian dari Firdaus.
Firdaus hanya mengangguk-angguk perlahan. Beliau masih bisu tanpa bicara.
Seketika, keadaan bilik itu menjadi sunyi. Hanya sedu-sedan mengisi ruang.
Firdaus terasa amat bersalah. Dosa-dosa yang telah dia lakukan bersama Azlina dirasakan terlalu berat untuk dipikulnya. Malah, dia merasa tertampar kerana menganggap dirinyalah juga penyebab Azlina turut sama melakukan perkara-perkara yang dimurkaiNya. Dia tertanya-tanya, apakah dirinya ini masih layak berhadapan denganNya, meminta ampun segala dosa. Dia merasa begitu hina. 'Ya Allah, dosaku menggunung, apakah aku masih layak memohon belas dan simpati dariMu?'
"Namun Daus, yakinilah, pintu-pintu taubat itu sentiasa terbuka." Syafiq cuba memujuk. Seakan-akan dia dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran sahabatnya.
"Allah itu Maha Pengampun, dan tidak pernah jemu mendengar rintihan-rintihan hamba-hambaNya. Kasih sayangNya itu sentiasa mendahului kemurkaanNya. Dia pasti akan mengampuni hamba-hambaNya yang insaf serta menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan, lalu bergerak memperbaiki diri ke arah yang lebih Dia redhai."
"Walaupun dosa itu tinggi menggunung sekalipun, Allah itu Maha Pengampun terhadap hambaNya." Syafiq cuba meyakinkan, sambil mengusap-ngusap lembut belakang tubuh sahabatnya.
"Surah Ali Imran, ayat ke-89."
"Kecuali orang-orang yang bertaubat setelah itu, dan melakukan perbaikan, maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
Syafiq tidak kekok untuk terus memberi curahan hati.
Mendengarkan ayat Al-Qur'an yang dibacakan Syafiq, Firdaus tiba-tiba terasa seolah ada embun dingin menyelinap di lubuk hatinya. Hatinya terasa tenang dan semakin lapang. Benarlah firman-Nya. Yang mana orang-orang yang beriman itu, apabila diperingatkan dengan ayat-ayatNya, akan menambahkan lagi iman dalam dada mereka. Tatkala diperingati akan sifat-sifatNya, mampu memberi ketenangan kepada jiwa mereka.
Suasana bilik itu kembali kaku seketika. Hanya keheningan menggamit suasana.
"Tapi... aku... aku rasa tidak kuat la Fiq." Firdaus kembali bersuara, memecah kesunyian. Suaranya serak dan tersekat-sekat menahan isak tangisan. Sungguh berat dirasakan ujian yang menimpa. Dia mahu berubah. Namun, adakah dia mampu menghadapi segala-segalanya?
"Daus, Allah itu ada dengan kita."
"Allah itu tidak jauh. Bahkan sungguh dekat. Bukankah dia sudah berjanji akan bersama-sama dengan mereka yang sabar...."
"Dan Allah tidak akan pernah memungkiri janjiNya." Syafiq cuba memberi sinar-sinar harapan kepada sahabatnya.
"Dan aku, aku juga akan sentiasa bersama engkau Daus, walauapapun yang berlaku. " Lembut tuturnya.
"Walauapapun berlaku." Syafiq mengulangi lagi kata-katanya tadi. Ikhlas, dia menutup bicara.
Rangkulan antara kedua sahabat itu semakin erat. Bersama-sama, mereka larut dalam tangisan. Suasana yang pasti menggamitkan hati, bagi sesiapa yang melihat.
Kini, Firdaus merasa semakin kuat untuk menempuh ujian-ujian yang bakal mendatang. Bait-bait kata Syafiq yang tulus, cukup membuatkan dirinya kembali tersedar. Keterikatan ukhwah dan keprihatinan Syafiq akannya, amat-amat bertepatan dengan waktu dan kondisi dirinya. Langkahnya yang dirasakan longlai terasa disokong, menjadikan bebannya yang terpikul di bahunya terasa semakin ringan. Cahaya harapan untuk kembali kepadaNya yang kelihatan kelam seakan-akan dinyalakan kembali. Dengan Syafiq menjadi sokongan, Firdaus tidak merasa keseorangan dalam menanggung beban.
Kesedaran Firdaus kini jelas. Dia sedar bahawa dirinya telah tertipu dek fatamorgana dunia yang bernama cinta. Benar jangkaan awalnya, cinta itu buta. Namun dia tersilap. Tidak semua cinta itu buta. Cinta yang buta itu hanyalah cinta yang berlandaskan nafsu semataCinta yang tidak tulusCinta yang menipuCinta yang hanya membawa mereka sama-sama menuju kehancuran, yakni menuju neraka.
Sesungguhnya, bagi orang-orang beriman itu, cinta mereka tidak buta. Dengan cinta, mereka tetap mampu mengawal dirinya, mengawal rasionalnya. Dengan cinta, mereka tidak mengheret diri mereka bersama-sama kekasihnya ke dalam lubang kehinaan.
Puncanya? Iman. Ya, iman kuncinya.
Keyakinan tinggi mereka akan Allah dan azabNya. Itulah kekuatan mereka. Iman itulah yang menjadi pengemudi kepada cinta, bukan cinta yang mengawal keimanan mereka. Malah dengan cinta, penglihatan nurani mereka lebih jernih dalam menilai jalur-jalur kehidupan. Cinta kurniaan Tuhan itu jugalah mampu membantu mereka semakin dekat kepada Allah, semakin memperkuat iman dalam dada mereka.
Seperti sebuah kenderaan yang digunakan untuk mencapai satu destinasi tujuan. Kenderaan itu hanyalah berfungsi sebagai alat untuk mempermudahkan manusia mencapai tempat yang dituju. Sedangkan tanpa alat itupun, matlamat masih dapat dicapai melalui pelbagai cara atau kaedah yang lain. Maka, alat tetap alat, bukannya matlamat. Cinta itu jua hakikatnya alat. Alat untuk mencapai matlamat. Dan sesungguhnya, matlamat seseorang muslim itu seharusnya tidak lain untuk berjaya meraih redhaNya. Itu sahaja.
Maka, sejak detik itu, Firdaus berazam kuat untuk memperbaiki dirinya. Dia insaf. Akan dia pastikan, cinta yang akan dia bina nanti, benar-benar cinta yang tulus. Cinta yang suci dari najis-najis dosa. Cinta yang dibina atas dasar untuk mencari keredhaan Allah, bukan mencari Allah untuk mendapatkan cintanya.
Azamnya jelas. Dia mahu bersama-sama dengan kekasih halalnya nanti, bercinta, biar menembus hingga ke syurga.
Firdaus tekad.

6 Tanda Terlebih Beri Cinta



1)    kamu menelefon si dia lebih dari si dia menelefon kamu 
2)    Segala perancangan untuk keluar semuanya kamu yang aturkan, tidak pernah sekalipun dia cuba mengajak kamu keluar. Bukan itu sahaja, si dia juga tidak pernah membayar apa-apa sepanjang kamu keluar bersama. hanya kamu sahaja yang keluarkan wang 
3)    Kamu sahaja yang sering memberikan si dia hadiah sedangkan si dia langsung tidak teringat untuk memberikan hadiah biarpun pada hari jadimu 
4)    Apa sahaja yang di mintaknya, kamu pasti akan sedaya upaya mengadakannya biarpun sesetengah daripada permintaannya itu di luar keupayaan kamu, namun demi cinta, kamu sanggup menebalkan muka meminjam wang dari teman-teman untuk mendapatkan apa yang diinginkannya 
5)    Setiap kali membawanya keluar, kamu sentiasa memastikan kamu membawannya ke tempat-tempat yang mahal dan mewah. tujuan kamu berbuat demikian kerana mahu dia sentiasa gembira dan seronok keluar bersama kamu. walaupun pada hakikatnya kamu bukanlah terlalu kaya untuk berbuat demikian 
6)    Begitu memanjakan si dia, biarpun sudah pasti si dia melakukan kesalahan dan cuba curang pada kamu, tetapi kami hanya bersikap tidak nampak kerana tidak mahu hubungan kamu dan dia terjejas. 

Akibat Terlebih Beri Cinta 
1)    Kamu akan cepat merasakan diri tertipu dan marah andai suatu hari nanti si dia gagal memberi apa yang selalu diberikannnya pada kamu atau apa yang diberikannya telah berkurangan. misalnnya di awal percintaan, sia dia setiap hari akan menghadiahkan kamu sekuntum bunga dan sekeping kad. tetapi lama kelamaan hanya sekuntum bunga sahaja di hadiahkan untuk kamu tanpa kad. kemudian semakin lama. sia dia langsung tidak memberi apa-apa. kamu pasti akan cepat merasa sedih dan menganggap si dia tidak lagi menyayangimu. Akhirnya hubungan kamu dan dia ibarat retak menanti belah hanya kerana hal yang kecil 
2)    oleh kerana kamu merasakan telah memberi terlalu banyak, wujud perasaan terdesak dalam diri akibat terlalu ingin melihat hasil atas apa yang telah kamu beri dan lakukan. Misalnya kamu sanggup berkorban semua dari gaji kamu untuk membeli hadiah untuknya. kamu terlalu berharap si dia menghargai apa yang telah kamu buat untuknya dan akan melakukan sesuatu yang lebih baik dari itu untuk kamu. namun ia berlaku sebaliknya, kamu pasti akan rasa sedih dan tersinggung. Seterusnnya hubungan kamu pasti tidak mampu bertahan lagi 
3)    Kamu tidak mengendahkan diri sendiri kerana terlalu menumpukan perhatian kepada pasangan kamu. pakaian kamu tidak pernah bertukar sedangkan untuk pasangan kamu setiap minggu kamu mengajaknnya keluar membeli belah. Bukan itu sahaja, kamu sendiri hanya mampu belajar sampai tahap diploma tetapi demi si dia kamu sanggup habiskan membiayai pelajarannya sampai ke peringkat tertinggi. Akhirnnya pekerjaan, pelajaran atau apa sahaja yang kamu lakukan akan terjejas dan kesannya akan berbalik kpd perhubungan kamu. tidak mungkin si dia mahu terus bersama kamu andainya dia merasakan kamu terlalu banyak kekurangan dari dirinya 
4)    Keceriaan dalam hidup kamu makin hari makin hilang. kamu hanya akan gembira apabila dapat membuatkan si dia gembira. mungkin kamu sedar yang kamu sebenarnya hanya dipermainkan, diperbodohkan dan di ambik kesempatan namun kamu tidak mempedulikan semua itu dan terus berusaha untuk mendapatkan si dia hanya atas nama cinta. Pun begitu lagi jauh kamu mengejarnnya, si dia semakin tidak mengendahkan kamu kerana si dia tahu apa pun yang si dia lakukan pada kamu ia tidak akan sedikitpun melunturkan cinta kamu padannya 
5)    lama kelamaan si dia hanya akan bersama kamu apabila si dia memerlukan pertolongan kamu sahaja. Sekiranya tidak, sia dia akan mula menjauhkan diri kamu dan memberi pembagai alasan apabila kamu ingin bertemu. Manakala kamu pula semakin kerap membuat, memberi dan melakukan segalanya untuk si dia bagi memastikan si dia kekal bersama kamu. namun tindakkan kamu itu ternyta sia sia. Si dia tidak pernah menghargai apa yang kamu lakukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...